Cikgu Nurul's Blog

Blog Pembelajaran Sains PMR

Print

(Pengangkutan oksigen dalam darah)

Pada asalnya, cikgu nak menaip posting tentang pengaliran darah dalam jantung. Tetapi, beberapa hari yang lalu, cikgu ada menerima permintaan untuk menyediakan penerangan berkenaan tajuk ini di “Forum Cikgu Nurul”.

Sel darah merah (red blood cell) memainkan peranannya bermula di paru-paru (lungs). Di sini, ia akan mengambil oksigen yang merentasi dinding alveolus dan dinding kapilari darah (blood capillaries) untuk dihantar ke seluruh sel badan yang amat memerlukannya. Oleh itu, ia juga dikenali sebagai bahan pengangkut oksigen (teksi merah kepada oksigen).

Secara kronologinya, biarlah cikgu mulai penerangan ini dengan apa yang berlaku di dalam alveolus terlebih dahulu.




Di alveolus


Alveolus merupakan tempat di mana semua kandungan udara sampai setelah melalui organ-organ sistem pernafasan luar*. Antara kandungan udara tersebut adalah gas oksigen, gas nitrogen, gas karbon dioksida, gas-gas nadir (inert gases), habuk, bakteria dan sebagainya.



Antara bahan-bahan itu, gas oksigen merupakan bahan terpenting yang akan meresap masuk ke kapilari darah. Ia terjadi kerana terdapatnya perbezaan antara kepekatan oksigen di dalam alveolus dengan kepekatan oksigen di dalam kapilari darah.

Di paru-paru, kepekatan oksigen adalah sangat tinggi di dalam alveolus berbanding di dalam kapilari darah. Ini mendorong gas tersebut meresap ke dalam dinding alveolus untuk menuju ke kapilari darah yang kekurangan oksigen.

Sebelum memasuki sel dinding alveolus ini, oksigen terlebih dahulu akan melarut ke dalam lapisan lembap yang menyelaputi alveolus. Seterusnya ia akan merentasi ke dalam dinding kapilari darah dan menyerap masuk ke dalam sel darah merah di dalam kapilari darah itu dan bergabung dengan sejenis bahan yang dikenali sebagai haemoglobin.



Haemoglobin ialah sejenis pigmen merah yang diperbuat daripada unsur besi (iron). Ia cukup tertarik dengan oksigen dan sangat mudah bergabung dengannya. Penggabungan ini menghasilkan bahan baru yang berwarna merah cerah dan dipanggil oksihaemoglobin. Penggabungan oksigen dengan haemoglobin ini boleh diperhatikan melalui persamaan (word equation) berikut:




Sel darah merah yang mengandungi oksihemoglobin ini juga dikenali sebagai darah beroksigen (oxygenated blood). Ia akan mengalir di setiap salur darah dan kapilari darah untuk menuju ke sel-sel badan yang amat memerlukan oksigen.

Salur darah yang membawa darah beroksigen ini dikenali sebagai arteri (artery) – kecuali arteri pulmonari (pulmonary artery). Ia mengalir dalam keadaan bertekanan tinggi ke seluruh badan seperti organ-organ dalaman, tangan, kaki, otak, mata serta seluruh sel-sel badan yang memerlukannya.

Apabila telah sampai di kawasan sel-sel badan yang kekurangan oksigen, sel darah merah akan melepaskan oksigennya seperti yang berlaku di dalam paru-paru sebelum ini. Cuma di sini, keadaan menjadi terbalik di mana kapilari darah merupakan kawasan yang memiliki oksigen berkepekatan lebih tinggi berbanding di dalam sel badan. Oleh itu, oksigen akan bergerak masuk ke dalam sel-sel badan itu.



Secara ringkasnya:


1) Di dalam paru-paru

alveolus - kaya oksigen (kepekatan oksigen tinggi)
kapilari darah - kurang oksigen (kepekatan oksigen rendah)

Oleh itu, oksigen bergerak dari alveolus (tinggi oksigen) ke kapilari darah (rendah oksigen)


2) Di antara sel-sel badan:

kapilari darah - kaya oksigen (kepekatan oksigen tinggi)
sel-sel badan - kurang oksigen (kepekatan oksigen rendah)

Oleh itu, oksigen bergerak dari kapilari darah (tinggi oksigen) ke sel-sel badan (rendah oksigen)


Pelepasan oksigen oleh sel darah merah melibatkan proses pemisahan oksigen dari oksihaemoglobin. Proses ini ditunjukkan di dalam persamaan (word equation) berikut:




Selepas berpisah daripada haemoglobin, oksigen itu akan bergerak keluar dari sel darah merah dan merentasi pula sel dinding kapilari darah dan akhirnya masuk ke dalam sel-sel badan.

Kini sel darah merah itu telah kembali menjadi sel darah yang kekurangan oksigen (deoxygenated blood). Ia akan kembali ke paru-paru melalui salur darah vena (vein) dalam keadaan bertekanan rendah.

Perlu diingat di sini bahawa, deoxygenated blood bukan bermaksud darah yang ketiadaan oksigen sepenuhnya. Sebenarnya ia masih mengandungi sedikit molekul oksigen yang mungkin tidak berkesempatan diambil oleh sel-sel badan yang dilaluinya sebelum itu.

Oksigen yang masuk ke dalam sel-sel badan akan menjalani pula respiration cell di mana ia merupakan proses penggabungan dengan molekul glukosa (glucose) untuk menghasilkan tenaga, gas karbon dioksida dan molekul air.

Sebenarnya, proses ini bertujuan untuk menghasilkan tenaga. Daripada tenaga inilah, kita dapat memastikan suhu badan sentiasa kekal pada 37°C (tenaga haba) dan dapat bergerak (tenaga kimia). Karbon dioksida dan molekul air itu pula merupakan bahan buangan yang tidak diperlukan oleh badan. Kerana itulah juga ia dikategorikan sebagai bahan kumuh (excretion products) – Chapter 3 Form 3.


Sebagai ringkasan daripada peneranan di atas, turutan pergerakan oksigen adalah seperti berikut:



Oksigen dari alveolus masuk ke dalam kapilari darah

Dalam kapilari darah, oksigen meresap masuk ke dalam sel darah merah

Dalam sel darah merah, oksigen bergabung dengan haemoglobin dan membentuk oksihaemoglobin

Darah beroksigen ini mengalir ke seluruh badan untuk menuju ke sel-sel badan yang memerlukan oksigen

Sebelum memasuki sel badan, oksigen akan berpisah daripada oksihaemoglobin di dalam sel darah merah

Keluar dari sel darah merah, oksigen akan masuk pula ke dalam sel badan untuk menjalani respiration cell



Beberapa perkara perlu difahami di sini. Antaranya ialah bagaimana oksigen boleh tertarik untuk masuk ke dalam kapilari darah dari alveolus dan berpindah pula dari kapilari darah ke sel badan. Proses ini berlaku kerana wujudnya perbezaan kepekatan gas oksigen (concentration of oxygen).

Oksigen akan sentiasa bergerak dari kawasan berkepekatan tinggi ke kawasan berkepekatan rendah. Oleh itu, anda semua perlu sedar perbezaan kepekatan oksigen ini di dalam alveolus – kapilari darah – sel badan.

Perkara berikutnya ialah proses yang berlaku di dalam sel darah merah. Sel ini hanyalah bertindak sebagai kereta pengangkut sahaja. Manakala haemoglobin bertindak sebagai tali keledar (safety belt) untuk memegang oksigen. Apabila tiba ke destinasi yang dituju, oksigen akan dilepaskan dan keluar dari kereta yang membawanya. Ingat!! Safety belt Tidak Ikut Keluar! – Ramai pelajar keliru dengan menganggap oksihaemoglobin keluar dari sel darah merah dan masuk ke dalam sel badan! Sebenarnya, ini Salah! Oksigen keluar tanpa membawa apa-apa kecuali dirinya sendiri.

Seterusnya, pelajar juga sering keliru perbezaan antara oxyhaemoglobin dengan oxygenated blood. Kedua-dua perkataan ini sememangnya berkaitan. Namun, masing-masing membawa makna yang berbeza. Di mana, oxyhaemoglobin ialah bahan yang terkandung di dalam sel darah merah yang beroksigen:


"Oxyhaemoglobin is a substance in the oxygenated blood"

Hahaha… mungkin ada yang kepeningan apabila disebut dalam bahasa inggeris! Begini … bayangkan anda memasukkan jeli ke dalam belon. Jeli itu boleh diumpamakan sebagai oxyhaemoglobin. Manakala, belon itu merupakan oxygenated blood atau dalam kes ini disebut belon berjeli.

Masih tak faham juga (dan tak dapat bayangkan apa-apa)? Tak mengapa … hantarkan persoalan anda melalui komen di bawah posting ini. Yang penting adalah anda berusaha untuk “clear”kan segala kekusutan anda secepat yang mungkin. Jangan biarkan ketidakfahaman anda menguasai minda anda!

Seperkara lagi ialah, respiration cell bukan bertujuan untuk menghasilkan tenaga, karbon dioksida dan wap air. Tetapi, ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga SAHAJA. Motif utama proses ini adalah untuk menghasilkan tenaga iaitu tenaga kimia dan tenaga haba. Ingat! Karbon dioksida dan wap air adalah bahan kumuh yang tidak diperlukan oleh badan!

Sebagai panduan, penerangan ini amat sesuai digabungkan dengan nota tentang pengaliran darah Chapter 2 Form 3. Dalam nota pengaliran darah ini nanti, cikgu hanya akan memberikan tumpuan lebih kepada nama-nama salur darah dan struktur-struktur yang dilalui oleh darah ke seluruh badan.

Akhir kata … Selamat Mengulangkaji Pelajaran!