Cikgu Nurul's Blog

Blog Pembelajaran Sains PMR

Assalamualaikum n salam buat semua,


Ini merupakan sambungan bagi Ujian Penentuan dalam Eksperimen. Kali ini, saya akan menerangkan tentang Ujian penentuan bagi air. Air merupakan larutan tidak berwarna (INGAT! kita TIDAK boleh mengatakan air adalah larutan berwarna putih!), tiada bau dan tiada rasa - water is colourless, odourless and tasteless. Walaubagaimanapun, di dalam makmal, bukan sahaja air mempunyai ciri-ciri seperti itu.

Fikirkan! Sekiranya anda diberi dua jenis bikar yang mengandungi larutan tidak berwarna. Bagaimanakah anda dapat menentukan yang mana satukah mengandungi air? Anda mungkin terfikir untuk memeriksa baunya terlebih dahulu bukan? Kaedah ini, bukanlah kaedah yang selamat. Ini kerana terdapat sesetengah larutan tidak berwarna yang boleh mengeluarkan gas kimia yang merbahaya (contohnya larutan ammonia).

Kalau begitu, bolehkah pula anda merasa kedua-dua larutan tersebut? ……. Ini juga bukan merupakan jalan terbaik untuk menentukan apakah jenis larutan yang terkandung dalam kedua-dua bikar itu! Malah, inilah langkah yang MESTI kita elakkan apabila berada di dalam makmal! Jangan cuba-cuba merasa mana-mana larutan yang ada di dalam makmal walaupun diberitahu dengan jelas bahawa larutan tersebut adalah “air”!! Kenapa? Ini kerana ditakuti, larutan tersebut telah tercemar oleh bahan beracun dan juga mikroorganisma merbahaya! Ingat! Makmal sains BUKANlah tempat yang selamat daripada pencemaran bahan kimia dan kuman!!

Kalau semua kaedah di atas tidak boleh digunapakai, apakah ada cara lain yang sesuai untuk menentukan jenis kedua-dua larutan tadi? Ya! Masih ada cara lain yang lebih selamat dan lebih berkesan untuk menentukan yang mana satukah di antara kedua-duanya adalah air. Di peringkat sekolah, terdapat 2 jenis bahan yang boleh digunakan untuk menguji kehadiran air dalam sesuatu bahan. Kita boleh memilih sama ada mahu menggunakan:

kertas kobalt klorida kontang (dry cobalt chloride paper), atau
serbuk kuprum (II) sulfat kontang (anhydrous crystal of copper (II) sulphate)


Kertas Kobalt Klorida Kontang (Dry cobalt chloride paper)


Sebelum menguji larutan dengan menggunakan kertas ini, kita mesti pastikan ia berada dalam keadaan kering. Ini bermakna, tangan kita juga mesti kering. Kertas ini berwarna biru muda. Ia kelihatan hampir sama dengan kertas litmus biru. Walaubagaimanapun, kedua-duanya adalah berbeza dari segi bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Kertas kobalt klorida diperbuat daripada serbuk kobalt klorida. Manakala, kertas litmus diperbuat daripada pewarna kulampair atau juga disebut liken (lichen).

Kobalt klorida adalah bahan yang sangat sensitif terhadap kewujudan air. Oleh itu, apabila ia didedahkan kepada air, ia akan segera bertukar warna kepada merah jambu (pink). Oleh itu, jika kita celupkan kertas kobalt klorida kontang ke dalam larutan yang tidak mengandungi air, ia tidak akan mengubah warna biru kertas tersebut.

Ringkasan:
Ujian kertas kobalt klorida kontang dengan air:
bertukar warna dari biru muda kepada merah jambu (change colour from blue to pink)
Ujian kertas koblat klorida kontang dengan larutan BUKAN air:
warna kertas kobalt klorida tidak berubah (the blue colour of cobalt chloride paper does not change)
Ujian kertas kobalt klorida kontang dengan larutan yang bercampur dengan air:
warna kertas kobalt klorida akan bertukar dari biru muda kepada merah jambu

Kertas ini sangat sensitif kepada bahan yang mengandungi air. Oleh itu, jika kita menguji kertas ini dengan sebarang larutan lain yang turut mengandungi air (contohnya: larutan alkohol cair, air garam dll.), ia akan turut berubah warna dari biru muda kepada merah jambu. Semakin banyak kandungan air dalam larutan tersebut, semakin cepat ia berubah warna kepada merah jambu.




Serbuk Kuprum (II) Sulfat Kontang (Anhydrous crystal of copper (II) sulphate)


Serbuk kuprum (II) sulfat kontang adalah serbuk kimia yang berwarna putih. Ia juga sangat sensitif kepada kehadiran air di sekelilingnya. Apabila ia terdedah kepada air, warna putih serbuk ini akan bertukar menjadi biru muda. Oleh kerana ia sangat mudah berubah warna, serbuk ini perlu disimpan di dalam bekas yang kedap udara.

Ringkasan:
Ujian serbuk kuprum (II) sulfat kontang ke atas air:
warna serbuk bertukar dari putih kepada biru muda (the white colour change to blue)
Ujian serbuk kuprum (II) sulfat kontang ke atas larutan bukan air:
warna putih serbuk ini kekal (the crystal remain white in colour)

Cara menguji larutan dengan menggunakan serbuk ini ialah dengan cara menitiskan larutan yang hendak dikenalpasti ke atas serbuk berkenaan. Gunakan piring penyejat (watch glass @ evaporating dish) yang kering dan bersih untuk meletakkan satu atau dua spatula serbuk kuprum (II) sulfat. Kemudian, titiskan beberapa titik larutan yang hendak diuji ke atasnya dan lihat perubahan yang mungkin terhasil. Walaubagaimanapun, jangan biarkan serbuk ini terdedah begitu lama kepada udara persekitaran. Ini kerana udara kita juga mengandungi wap air yang turut boleh mengubah warna putih serbuk ini kepada biru. Jika serbuk tersebut telah bertukar biru sebelum ujian dijalankan, JANGAN BUANG! Panaskan ia secara perlahan-lahan sehingga warnanya berubah kembali kepada putih.


Berdasarkan dua penerangan di atas, anda mempunyai pilihan untuk menjalankan ujian yang mana satu antara dua bikar mengandungi air. Tajuk ini sebenarnya mula dipelajari dalam Science Form 2 (Chapter 5: Water and Solution). Antara eksperimen yang mungkin berkaitan dengan pengujian kehadiran air ialah:

1. Udara mengandungi air (Air contains water vapour) - Chapter 5 Form 1

larutan tidak berwarna yang terbentuk di luar tabung didih adalah air yang berasal daripada udara persekitaran. Ia dapat disahkan sebagai “air” kerana apabila disentuh dengan menggunakan kertas koblat klorida kontang, kertas itu akan berubah menjadi merah jambu.




2. Hasil daripada proses pembakaran hidrokarbon (The products of combustion of hydrocarbon) - Chapter 5 Form 1

pembakaran bahan hidrokarbon (bahan yang mengandungi unsur hidrogen dan karbon sahaja seperti bahan-bahan yang berasal daripada petroleum: minyak petrol, lilin, minyak tanah/kerosene, diesel) akan membebaskan gas carbon dioxide, tenaga dan “wap air”. Daripada gambarajah di atas, titisan larutan yang tidak berwarna di bahagian dalam dinding bikar itu adalah air. Ini kerana ia dapat disahkan dengan menyapukan kertas kobalt klorida kontang kepada titisan-titisan itu. Hasilnya, ia akan berubah warna daripada biru kepada merah jambu.


3. Bahan berbeza menunjukkan sifat penebat haba yang berbeza (Different materials have different abilities to act as heat insulators) - Chapter 7 Form 1


ketiga-tiga rod ini merupakan bahan penebat haba. Namun, yang manakah merupakan penebat haba paling baik? Penebat haba yang baik mestilah mempunyai sifat lambat menyerap haba. Untuk menguji ketiga-tiga rod ini, kita boleh menggunakan kertas kobalt klorida lembap sebagai bahan penguji. Kertas ini berwarna merah jambu dalam keadaan basah. Oleh itu, ia akan bertukar warna kepada biru apabila kertas itu telah kehilangan air kesan daripada penyejatan ke udara persekitaran. Rod yang lebih panas akan menyebabkan molekul-molekul air pada kertas tersebut lebih cepat menyejat keluar. Dengan itu, rod yang mempunyai kertas kobalt klorida lembap yang paling lambat berubah warna daripada merah jambu kepada biru merupakan bahan penebat haba paling baik.

Satu perkara lagi yang sering mengelirukan pelajar ialah perbezaan ujian penentuan antara air dengan air tulen. Air tulen (pure water) juga merupakan sejenis air. Oleh itu, air tulen juga boleh menukarkan warna kertas kobalt klorida kontang dan serbuk kuprum (II) sulfat. Dengan itu, kedua-dua bahan ini bukanlah bahan yang boleh menguji ketulenan air! Kaedah yang biasanya digunakan untuk menguji ketulenan air ialah dengan memeriksa takat beku dan takat didihnya (freezing point and boiling point). Air yang tulen mempunyai suhu O°C pada takat beku dan 100°C pada takat didih.

Cukup sehingga di sini sahaja dahulu. Jika memerlukan penjelasan lebih lanjut, sila kemukakan komen anda.



14 Komen/ Pandangan:

kurang pham yg no.3..

ckgu krg pasti yg mana satu bhgn yg tidak difahami. oleh itu, cikgu cuba terangkan dr sudut lain pula.


selama ini, pelajar sering diberitahu bhw kertas kobalt klorida adalah berwarna biru. namun, anda semua mesti faham bahawa warnanya biru hanya apabila ia dlm keadaan kering shj.

dlm eksperimen ini pula, kertas kobalt klorida yg digunakan adalah warna pink. ini kerana ia dilembapkan dahulu sebelum dililit pada hujung 3 rod penebat berlainan jenis.

oleh kerana rod2 ini dipasang pada takungan air panas, lambat laun, ketiga2 rod itu akan menjadi panas sedikit (atau suam). haba inilah nanti yg akan menyebabkan molekul2 air dlm kertas kobalt klorida lembap itu mulai tersejat keluar.

hasilnya, kurang la molekul air yg terkandung dlm kertas kobalt klorida lembap itu dan kertas itu mula bertukar menjadi warna biru.

proses ini tidak berlaku serentak pada ketiga2 kertas kobalt klorida pada rod2 itu. ini kerana darjah penyerapan haba pada ketiga2 rod tidak sama. ada yg cepat menerima haba dan ada yg lambat.

oleh itu, jika kita dapati ada satu kertas yg paling lambat bertukar menjadi biru, itulah rod penebat haba paling baik.

bgs la blog ni.teruskanlah usaha murni ini

This comment has been removed by a blog administrator.
This comment has been removed by a blog administrator.
This comment has been removed by a blog administrator.
This comment has been removed by the author.

maafkan saya cikgu..
boleh saya tanya di mana nak dapatkan
Serbuk Kuprum (II) Sulfat Kontang??
kalau tidak keberatan..
emel saya reply: aqibcr89@gmail.com

mohon bantuan..
terima kasih..

This comment has been removed by a blog administrator.
This comment has been removed by a blog administrator.

Apa fungsi kertas kobalt

This comment has been removed by a blog administrator.
Azura Jalal said...

Terima kasih atas fungsi penebat haba di atas.

Sekali pandang, ayat 'penebat haba yang baik adalah yang paling lambat menyerap haba' nampak macam salah. Mungkin ini punca kekeliruan pelajar.

'Penebat yang terbaik adalah pengalir haba yang paling lemah' atau 'Penebat yang terbaik adalah yang paling kurang menyerap haba'.

Mungkin ayat-ayat di atas lebih tepat untuk tujuan pemahaman.
Apa pendapat cikgu?

cikgu..apakah takat beku air garam? adakah bila garam ditambahkan pada ais, suhu takat beku 0 darjah celcius tu akan menurun lg? mohon pencerahan cikgu...

Post a Comment