Cikgu Nurul's Blog

Blog Pembelajaran Sains PMR

Print

Salam,

Hari ini, saya tergerak hati ingin berkongsi maklumat tentang suatu buku yang sesuai sebagai rujukan para guru yang mengajar Sains PMR seperti saya. Bukan berniat untuk memperniagakan buku tersebut.

Asalnya, saya tidak merancang langsung untuk membeli buku tersebut, kerana sememangnya saya sendiri tidak tahu akan kewujudan buku seperti itu. Sebelum ini, buku-buku pelajaran lebih kepada buku kerja, buku rujukan, buku set soalan ...

Semuanya bermula apabila saya mengunjungi Kedai Buku Popular di Taiping dengan niat sekadar mencari bahan bacaan ringan. Namun, puas saya membelek-belek buku di situ, tiada satupun yang menarik perhatian kecuali buku-buku encyclopedia yang berharga antara RM 40 - 80. Duit di tangan ketika itu sekadar RM 50. Nak cari bank, dah rasa malas yang amat sangat kerana kepenatan berkenderaan dari Kuala Kangsar ke Ipoh dan kemudiannya terus ke Taiping pula. Oleh itu terpaksalah membatalkan niat membeli salah satu daripada buku-buku itu.

Pun begitu, mata saya masih lagi meninjau-ninjau buku sehingga saya terjumpa buku ini:


Harganya RM 19.90. Menariknya buku ini kerana ia memberi kita panduan untuk menjawab kertas 2 Science PMR. Malah ia menyediakan contoh-contoh soalan beserta penerangan tentang bagaimana untuk mendapatkan jawapan yang terbaik. Juga ditunjukkan kenapa sesuatu jawapan itu tidak diterima atau ditolak. Lihat contoh di bawah:


Pada saya, buku ini lebih sesuai digunakan oleh para guru berbanding para pelajar. Walaubagaimanapun, pelajar2 semua masih boleh menjadikan buku ini sebagai panduan dalam menjawab soalan. Lagipun, ia bukanlah buku set soalan peperiksaan atau latih tubi. Ia cuma menerangkan bagaimana sesuatu jawapan itu perlu ditulis mengikut kehendak dan keperluan soalan yang diberi. Kerana inilah, saya lebih mewar-warkan agar guru sains sahaja yang berusaha memiliki buku seperti ini.

Tambahan pula, sejak kertas 2 Science PMR diperkenalkan 6 tahun yang lalu, setahu saya belum lagi ada buku panduan dalam menanda kertas soalan 2 bagi guru-guru yang mengajar sains. Sebelum ini, saya lebih banyak bergantung kepada perbincangan dengan guru-guru pemeriksa kertas soalan dan rakan-rakan.

Buku ini dibahagikan mengikut chapter dari tingkatan 1 hingga 3. Keseluruhannya dalam Bahasa Inggeris. Dikeluarkan oleh SAP Publications (M) Sdn Bhd. Juga ada untuk subjek matematik. Tertera di situ, ianya ditulis oleh pemeriksa kertas soalan (tetapi tidak pula dinyatakan siapa??...)

Diingatkan sekali lagi bahawa, saya tidak berniat memperniagakan buku ini. Oleh itu, kepada yang berminat untuk mendapatkan buku itu, sila berurusan sendiri dengan syarikat tersebut. Mereka ada sediakan email: cs@sapgrp.com dan no. telefon 03-5192 9622.

Ok, itu sahaja yang ingin saya kongsikan hari ini. Salam buat semua...

1 Komen/ Pandangan:

thank u ckgu..bku ni bnyk bntu sy!

Post a Comment